ULANGTAHUN KE 13 TSUNAMI CHRISTMAS

ULANGTAHUN KE 13 TSUNAMI X-MAS

Bukhary Artz
'.

Pada hari Ahad 26 Disember 2004 bersamaan 14 Zulkaedah 1425 Hijrah, dunia telah dikejutkan dengan bencana tsunami yang dikatakan telah mengorbankan lebih kurang 280 ribu nyawa. Ia adalah korban terbesar dalam sejarah bencana alam di dunia ini.


Hari ini Ahad 6 Ogos 2017 bersamaan 14 Zulkaedah 1438 Hijrah genaplah 13 tahun qamariah peristiwa ini berlaku. Ia bukan sahaja genap 13 tahun malah hari ini juga adalah hari Ahad. Saya tidak membuat ramalan apa-apa di sini. Saya menulis sekadar peringatan agar kita sama-sama mengambil iktibar daripada peristiwa bersejarah ini dan beramal dengan amalan-amalan yang baik agar diberi perlindungan oleh ALLAH SUBHANAHU WATA'ALA daripada bencana.


Tsunami tersebut dikenali sebagai Tsunami Aceh dan pada masa yang sama ia juga disebut sebagai Tsunami Christmas. Ini kerana kejadian gempa hingga terbelahnya bumi di dasar laut itu berlaku di Aceh pada hari Christmas. Pada masa kejadian itu negara-negara barat masih lagi meraikan perayaan Christmas, tarikh di tempat mereka ialah 25 Disember sebelah malam.


Rata-ratanya Christmas tahun itu sangat bermakna bagi penganut agama Kristian kerana ia jatuh pada hari Ahad, hari di mana mereka akan berkumpul untuk beribadat di gereja. Pada hari itulah gereja seluruh dunia melaungkan bahawa Nabi Isa a.s anak Allah.


Di dalam AL QURAN, Terjemahan Surah Maryam ayat 88 hingga ayat 92 ALLAH SUBHANAHU WATA'ALA berfirman:


"Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak."


"Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!"


"Nyaris-nyaris langit pecah disebabkan (kepercayaan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap,"


"Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak."


"Padahal tidaklah layak bagi (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak"


ALLAH SUBHANAHU WATA'ALA telah mengancam dan memberi amaran bahawa perkataan yang mengatakan ALLAH itu mempunyai anak hampir-hampir menyebabkan bencana yang dasyat, akhirnya ia benar-benar bumi di dasar lautan itu terbelah akibat perkataan-perkataan manusia yang salah mengenai ALLAH Yang Maha Suci.


Apabila bencana menimpa ia tidak hanya menimpa orang-orang yang bukan Islam sahaja tetapi ia menimpa juga orang-orang Islam. Ini juga perlu diambil iktibar, apakah ALLAH murka kepada kita kerana saban hari kita membaca ayat-ayat ALLAH tetapi tidak menyampaikan kepada orang-orang kafir terutamanya orang Kristian mengenai kepentingan peringatan ALLAH ini ?


Jadi tidak seharusnya bila bencana menimpa kita hanya melihat kesalahan pihak lain, sebaliknya kita perlu muhasabah diri mengapa ALLAH mentakdirkan bencana sedemikian mengorbankan begitu ramai juga umat Islam pada hari itu.


Jika kita tidak muhasabah diri kita dengan berpandukan AL QURAN dan Sunnah, nescaya golongan mubaligh Kristian boleh mengelirukan kita dengan mengatakan bahawa kita ditimpa bencana Tsunami kerana kita tidak mahu percaya bahawa Nabi Isa a.s adalah anak ALLAH. Hakikatnya ALLAH SUBHANAHU WATA'ALA telah menjelaskan di dalam AL QURAN punca bencana itu sebab mengatakan ALLAH itu mempunyai anak.


Begitulah fitnah boleh dibuat untuk mengelirukan dan menyesatkan umat Islam jika umat Islam tidak kembali memahami AL QURAN dan Sunnah. Saya merasakan adalah sangat penting untuk mengetengahkan tulisan ini pada hari yang bersejarah ini.


Marilah sama-sama kita berusaha mengamalkan Surah Maryam, terutamanya pada setiap hari Sabtu atau Ahad kerana pada hari tersebut gereja-gereja seluruh dunia mengeluarkan kata-kata yang benar-benar mengundang kemurkaan ALLAH. Atau setidak-tidaknya bacalah surah Al Ikhlas yang mana surah tersebut menolak kepercayaan ALLAH mempunyai anak dan menolak juga kepercayaan yang mengatakan ALLAH itu adalah anak.


Semoga dengan bacaan ayat-ayat suci AL QURAN ini terutama di hari-hari tersebut menyelamatkan daripada azab ALLAH di dunia dan juga di akhirat. WALLAHU a'lam, Wassalam.


Abdul Khalid. 6/8/2017


No comments:

Powered by Blogger.