SOALAN: CARA ISTIQOMAH DALAM IBADAH LAGUMANA?

SOALAN: CARA ISTIQOMAH DALAM IBADAH LAGUMANA GOP?

Bukhary Artz
'.

Istiqomah dalam beribadah bukanlah satu perkara mudah. Hari ini kita sangat istiqomah dalam mencari rezeki kerana kita tahu betapa pentingnya disiplin bekerja, jika tidak nanti bos marah, kena tindakan tatatertib, tak dapat bonus, hidup susah. Jadi disitulah kunci kepada segala jawapan. Kita hanya akan ada sifat istiqomah melakukan sesuatu perkara bila adanya perasaan takut dan yakin. Selagi perasaan ini tidak lahir dalam jiwa kita selagi itulah kita tidak akan dapat mengerjakan sesuatu dengan bersungguh-sungguh.


Disamping itu, mengharapkan ganjaran yang menanti juga menyebabkan kita bekerja kuat. ALLAH Maha Mengetahui dimana kekuatan dan kelemahan kita, sebab itu ALLAH mewahyukan ayat-ayat mengenai syurga dan neraka agar kita menjadi bersemangat dan pada masa yang sama menjadi takut.


Hari ini kebanyakkan kita tidak berasa takut dan ghairah kerana kita lebih banyak didedahkan dengan kelebihan-kelebihan dunia dan kebimbangan terhadap kesusahan kehidupan dunia hingga kita terlupa bahawa walau sekaya mana pun kita atau semiskin mana pun kita di dunia ini ia hanyalah bersifat sementara sedangkan miskin atau kaya di akhirat pula bersifat kekal tidak dapat bertambah dan tidak pula berkurangan.


Selain 2 perkara di atas, yang menjadikan seseorang tidak istiqomah dalam ibadah kerana terdedahnya dengan perkara-perkara yang melalaikan seperti Television, handphone dan pelbagai lagi peralatan yang digunakan secara salah hingga menyebabkan kita lalai daripada mengerjakan ibadah kepada ALLAH SUBHANAHUWATAALA. Tidak mudah untuk kita mengawal diri kita apatah lagi untuk mendisiplinkan diri kita di kala kita dikelilingi peralatan seperti ini. Adalah lebih baik kita hadkan akses terhadap perlatan seperti ini dan kurangkan. Tak perlulah kita nak jadi hebat dalam penggunaan semua aplikasi yang ada pada hari ini. Memadailah satu atau 2 aplikasi untuk kita menambah ilmu pengetahuan dan selebihnya daripada masa kita dihabiskan untuk beribadah kepada ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA.


Yang ke 4, sesuatu amalan tidak menjadi istiqomah kerana kita tidak merasai keenakan amalan tersebut disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah amalan itu dilakukan dengan cara yang tidak menghiburkan atau tidak dilakukan secara betul atau dilakukan dalam keadaan yang tidak menyelesakan. Akhirnya selepas beberapa ketika kita berasa malas untuk meneruskannya.


Amatlah penting kita beramal dengan cara yang bersesuaian dengan kemampuan kita, Bagi ibadah sunat bolehlah diamalkan sedikit demi sedikit di peringkat awal tetapi secara berterusan dan selepas itu ditambah sedikit demi sedikit dari semasa ke semasa.


Jadikanlah amalan itu mudah dan menyelesakan. Misalnya dalam pembacaan ayat-ayat suci AL QURAN, bolehlah dibaca surah-surah ringkas dahulu, berehat seketika, ubah posisi agar tidak terlalu letih atau tertekan. Selepas itu sambung lagi membaca surah-surah lain. Surah-surah yang panjang pula tidak semestinya dihabiskan keseluruhan pada satu masa. Belajarlah sedikit demi sedikit untuk membaiki bacaan. Apabila AL QURAN dibaca dengan tajwid yang betul ia sungguh menghiburkan pembaca untuk terus membacanya. Apatah lagi jika pembaca memahami pula maksud bacaan ayat-ayat suci AL QURAN tersebut.


Yang seterusnya, buatlah perancangan masa dengan betul dan disiplinkanlah diri untuk setiap perancangan tersebut. Setiap hari hendaklah kita muhasabah diri dan menilai semula sejauh mana kita telah berjaya untuk beramal. Sepertimana seorang peniaga yang akan menilai semula hasil perniagaannya dan mencari jalan meningkatkan lagi mutu dan hasil jualan begitulah juga dalam ibadah, kita harus menilai dan mengkaji apakah punca kelalaian kita dan tindakan-tindakan yang perlu kita ambil supaya kelalaian seperti itu tidak berulang lagi.


Kesimpulannya untuk istiqomah melaksanakan ibadah kepada ALLAH, hendaklah kita memahami kelebihan-kelebihan amalan tersebut, mengamalkannya dengan cara yang betul, pada masa yang betul, dalam suasana yang menyelesakan dan menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh menghalang kita daripada melaksanakannya serta memperbaiki segala kelemahan dari semasa ke semasa. Itulah serba sedikit langkah-langkah yang perlu kita ambil untuk mencapai istiqomah dalam beribadah kepada ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA.


Insya ALLAH, sama-sama kita usahakan, mudah-mudahan ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA memberi kita kekuatan dan menerima semua amal ibadah kita. WALLAHU a’lam, Wassalam.


Abdul Khalid. 7/8/2017

No comments:

Powered by Blogger.